Kemudahan bagi Orangramai Membuat Pertanyaan dan Menyalurkan Maklumbalas
JOHOR BAHRU, Isnin 4 Mei: - Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), badan pemantau dan pelaksana yang diamanah untuk merancang, mempromosi dan memudahcara pelaksanaan pembangunan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis kukuh dan mapan bertaraf antarabangsa, hari ini, melancarkan talian khas bagi projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Pelaksanaan projek RMK-9 mula dilaksana awal tahun ini memerlukan kemudahan berupa satu Talian Khas IRDA RMK-9 (+607-2183100) bermatlamat mewujudkan satu platform bagi mengumpul pertanyaan dan maklum balas publik secara lebih efisyen dan efektif.
Selain menerima panggilan untuk pertanyaan, orang ramai boleh juga menyalurkan pemasalahan mereka menerusi email rmk9info@irda.com.my. IRDA akan juga melihat saluran lain seperti Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dalam masa terdekat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Harun Johari berkata, talian khas berkenaan juga adalah untuk kemudahan awam mendapatkan lebih maklumat dan perkembangan terkini pelaksanaan projek termasuk kerjaan naik taraf jalan, pembersihan sungai dan sistem saliran.
“Ia adalah saluran komunikasi dua hala antara IRDA dan publik. Mereka boleh membuat panggilan untuk mengemukakan cadangan dan maklum balas, selain IRDA dapat menyebarluaskan maklumat kepada orang ramai sekali gus dapat memberikan perhatian kepada setiap permasalahan mereka.
“Walaupun kami menerima pakai amalan terbaik bagi projek RMK-9, kami juga sentiasa terbuka dalam menerima sebarang cadangan dan maklum balas. Menerusi maklumat yang diperolehi daripada pemanggil talian khas berkenaan dan juga email, kita dapat mendalami apa juga perkara yang menjadi perhatian publik membolehkan kita melaksanakan projek secara lebih efektif,” kata Harun.
Talian khas berkenaan dikendalikan kakitangan dalaman akan melayan pertanyaan dan maklum balas berkaitan semua aspek projek RMK-9 di bawah kendalian pihak IRDA.
Di bawah RMK9, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM6.83 bilion untuk Iskandar Malaysia, dan daripada jumlah itu IRDA diperuntukkan RM1.69 bilion membabitkan pelaksanaan 23 projek.
Tujuh daripada projek berkenaan membabitkan pakej jalan bernilai RM1.45 bilion, 11 projek lagi adalah projek saliran bernilai RM122.4 juta, manakala enam projek pembersihan sungai bernilai RM113.3 juta.
Pelaksanaan kerja pembinaan bagi projek RMK-9 bakal menjana limpahan ekonomi terutama bagi kontraktor kecil, pembekal bahan binaan, peniaga makanan, perkhidmatan telekomunikasi dan aktiviti perniagaan tempatan lain yang akan menerima kesan langsung dan tidak langsung daripada perkhidmatan dan penyediaan makanan bagi kerja-kerja RMK-9.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri komited bagi melaksanakan projek RMK-9 bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek prasarana terbabit.
---TAMAT---
Mengenai IRDA
Pihak berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah badan pemantau dan pelaksana yang diberi amanah untuk merancang, mempromosi dan memudah cara pembangunan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis kukuh dan mapan bertaraf antarabangsa sekali gus menjadi lokasi tumpuan tempat bermastautin, bekerja, berniaga dan beriadah.
Maklumat lanjut, sila hubungi: