Johor Bahru, Selasa, 27 Oktober – Hari Terbuka Ke-2 Iskandar Malaysia mencatatkan kejayaan apabila ia menarik lebih 3,000 pengunjung dan pencari pekerjaan, yang melebihi sasaran awal seramai 2,000 pengunjung dan pencari pekerjaan. Pameran ini telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor mulai 11 Oktober hingga 12 Oktober .
Bertemakan “Wawasan Untuk Semua”, pameran dua hari itu menampilkan perkembangan dan kemajuan yang berlaku di Iskandar Malaysia sejak pelancarannya tiga tahun lepas. Para pengunjung gembira dapat mengetahui tentang kemudahan bertaraf dunia yang dapat ditawarkan oleh Iskandar Malaysia kepada generasi masa kini dan akan datang.
Eksekutif kanan pembangunan bisnes Alpha Anggun Sdn Bhd Ahmad Saiful Azwan berkata beliau mendapat banyak maklumat mengenai pelancongan dan hospitaliti pada pameran itu.
“Saya nampak adanya peluang dan kini lebih memahami pembangunan keseluruhannya,” kata beliau, sambil menambah beliau berharap dapat mengunjungi lagi Hari Terbuka Iskandar Malaysia pada masa depan.
Seorang lagi pengunjung, Lim Boon Kwee, Pengurus Jualan bagi Mal Wah Selatan S/B berkata dengan tugasnya dalam bidang binaan, adalah penting baginya untuk terus sentiasa mengemas kini perkembangan Iskandar Malaysia kerana beliau tidak mahu ketinggalan satu peluang pun.
“Kami mengikuti dan memantau rapat pembangunan di wilayah ini dan Hari Terbuka ini merupakan satu platform untuk kami lebih mengetahui apa yang berlaku dan apa yang boleh diperolehi di wilayah ini, ” kata Lim.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) Harun Johari berkata Hari Terbuka Ke-2 ini penting dalam menyediakan maklumat terbaru dan pembangunan terkini bukan sahaja untuk penduduk tempatan malah setiap orang di negara ini.
“Hari Terbuka ini adalah susulan daripada Hari Terbuka pertama yang diadakan pada Mei tahun ini, tetapi ia memberi tumpuan lebih kepada peluang pekerjaan di Iskandar Malaysia. Ini adalah untuk menangani maklum balas yang kami terima pada Hari Terbuka sebelum ini.
“Sejak bermulanya Iskandar Malaysia tiga tahun lepas, IRDA telah menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi lain untuk meningkatkan kualiti kehidupan bagi mereka yang menghuni, bekerja dan bersantai di sini menerusi pelbagai inisiatif dan usaha.
“Inisiatif ini dirancang secara holistic dalam semua bidang termasuk pembangunan sosial, pembangunan sumber manusia, pelaburan dan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata IRDA akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan para pemain industri dan rakan Iskandar Malaysia serta jabatan dan agensi Kerajaan untuk terus menampilkan perkembangan Iskandar Malaysia dan manfaat yang dibawanya untuk masyarakat.
Pempamer yang mengambil bahagian adalah termasuk beberapa pemain dan rakan utama - Iskandar Investment Bhd, Iskandar Waterfront Development Sdn. Bhd., MSC Cyberport Sdn. Bhd, Monash University, Regency Hospital, Johor Corporation, UEM Land Bhd dan agensi seperti Telekom Malaysia Bhd, Malaysian Industrial Development Authority (MIDA) dan Johor State Investment Centre.
Selain daripada mempamerkan keseluruhan perkembangan dan pembangunan wilayah ini, Hari Terbuka Ke-2 ini juga menampilkan pencapaian pelbagai komponen di dalam Rancangan Pembangunan Menyeluruh Iskandar Malaysia dengan penekanan kepada Pembangunan Sumber Manusia dan Rangka Tindakan Perancangan Bersepadu.
Pesta Kerjaya mini juga didakan untuk menyokong inisitaif pembangunan Sumber Manusia. Semasa Pesta Kerjaya ini, sebanyak 16 pempamer yang merangkumi agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada tenaga kerja sedia ada dan graduan tempatan.
“Ia merupakan peluang baik buat kami untuk mengambil bahagian dalam acara ini dan pasukan IRDA juga memberi sokongan untuk memenuhi keperluan kami, “ kata Emmanuel, Pengurus Sumber Manusia bagi Panasonic AVC Networks, satu daripada pempamer pada Pesta berkenaan.
Antara syarikat yang mengambil bahagian pada pesta kerjaya itu ialah Thistle Hotel, Panasonic, Pan Century Oleochemicals Sdn Bhd, Flextronics Plastic (M) Sdn Bhd, Beyonics Technology Sdn Bhd, Lion Eco Chemicals Sdn. Bhd, Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd, All Cosmos Industries Sdn Bhd, Wen Ken Drug Sdn Bhd dan CareerXcell.
Acara itu dirasmikan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Datuk Ahmad Zahri Jamil, yang dalam ucapannya menyatakan bahawa purata ekonomi kerajaan negeri Johor ialah 4.6% yang lebih tinggi daripada purata nasional iaitu sebanyak 3.6%.
# # #Tamat # # #
Maklumat Mengenai IRDA
Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) ialah pihak berkuasa kawal selia yang dimandatkan untuk merancang, mempromosi dan memudahkan pembangunan Iskandar Malaysia menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan lestari di mana kehidupan, pekerjaan, perniagaan dan waktu senggang bersatu dengan sempurna.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi Ahmad Asri Khalbi di 019-728 7642 atau Marsha Tan di 019-777 8475.