Johor Bahru, Selasa, 27th Oktober – Seramai 22 anggota delegasi dari 13 negara Kesatuan Eropah (EU) mengunjungi Iskandar Malaysia semasa mengadakan lawatan dua hari baru-baru ini. Mereka telah diberi taklimat dan dibawa meninjau perkembangan projek-projek di Iskandar Malaysia pada 12 Oktober.
Anggota delegasi itu adalah termasuk Duta dan Ketua Misi dari Sweden, Belgium, Romania, Itali, Perancis, Poland, Slovakia, Republik Czech, Finland, Denmark, Austria, Belanda dan United Kingdom, yang diiringi pasangan masing-masing.
Ketua delegasi, Duta Sweden Helena Sångeland berkata keseluruhan delegasi itu menganggap lawatan itu sebagai sangat berjaya, selain menambah kata bahawa lawatan ke wilayah itu penuh maklumat.
“Nyata sekali terdapat perkembangan besar yang sedang berlangsung kini dan para penerajunya kekal komited. Zon ini jelas mempunyai daya saing tinggi, yang akan menempatkan Iskandar Malaysia dalam kedudukan yang baik, terutamanya apabila aktiviti pengeluaran bertambah di zon itu,” kata Sångeland.
Delegasi itu juga bertemu dengan Menteri Besar dan Pengerusi Bersama IRDA Dato’ Abdul Ghani Othman serta menghadiri majlis Rumah Terbuka Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) di Persada Johor.
…bersambung
Keesokannya, wakil-wakil IRDA, Iskandar Investment Berhad (IIB), Iskandar Waterfront Development (IWD), UEM Land dan Danga Bay memberikan panduan dan taklimat kepada delegasi itu.
Ketika Duta-dua mengunjungi Kota Iskandar, Horizon Hills Golf and Country Club, Medini, East Ledang, Puteri Harbour dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), pasangan mereka dibawa mengikuti satu pengalaman kebudayaan menerusi produk pelancongan di Pekan Nanas dan Tanjung Piai, di mana mereka juga melawat Muzium Nanas, Perkampungan Homestay Serkat dan Taman Negara Tanjung Piai.
Di Muzimum Nanas, pasangan duta itu menyaksikan demonstrasi menghasilkan benang daripada daun nanas manakala di Perkampungan Homestay Serkat, mereka menjamu selera – makan dengan tangan tanpa sudu-garfu, sambil dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh penduduk kampong berkenaan.
Di Taman Negara Tanjung Piai, mereka dibawa melalui pengalaman berada di hujung paling Selatan tanah besar Asia dan turut membantu alam sekitar dengan menanam benih bakau di dalam paya.
Kempen penanaman semula bakau terutamanya spesies Api-api, adalah penting untuk menghasilkan spesies utama untuk perlindungan pantai. Kempen ini merupakan usaha berterusan oleh Taman Negara Tanjung Piai bagi memulihara kepelbagaian spesies bakau di Tanjung Piai.
# # Tamat # #
Maklumat Mengenai IRDA
Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) ialah pihak berkuasa kawal selia yang dimandatkan untuk merancang, mempromosi dan memudahkan pembangunan Iskandar Malaysia menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan lestari di mana kehidupan, pekerjaan, perniagaan dan waktu senggang bersatu dengan sempurna.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi Ahmad Asri Khalbi di 019-728 7642 atau Marsha Tan di 019-777 8475.