Sasar dua hospital baru

08 December 2009 , By Utusan Malaysia

Pantai Holdings Bhd. (Pantai Holdings), penyedia penjagaan kesihatan di bawah kumpulan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) merancang membuka dua lagi hospital tahun depan untuk memenuhi keperluan dan permintaan perubatan yang makin meningkat di kalangan penduduk Malaysia.

Pada masa ini, syarikat tersebut mengendalikan sembilan hospital termasuk yang terbaru di Bandar Amanjaya, di sini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Khatib Abdul Hamid berkata, Pantai Holdings sentiasa meninjau peluang mengembangkan perniagaan terutamanya selepas Khazanah mengambil alih sebahagian kepentingannya daripada syarikat Singapura, Parkway Holdings Ltd. (Parkway), tiga tahun lalu.

"Dalam tempoh tiga tahun itu, kami telah mengambil pelbagai langkah untuk menjadikan Pantai Holdings sebagai penyedia penjagaan kesihatan terulung dunia.

"Salah satunya adalah penjenamaan baru Hospital Pantai melalui proses naik taraf kemudahan serta ambil alih hospital sedia ada daripada syarikat berpotensi.

"Bagi tempoh yang terdekat ini, kami merancang buka dua lagi hospital iaitu di Sri Manjung, Perak dan kawasan Iskandar Malaysia, Johor," katanya selepas majlis pelancaran penjenamaan semula Hospital Pantai Sungai Petani dan mesin pengimbas pelbagai resolusi (MRI), mesin diagnostik dan pengimbas CT 64 yang disempurnakan Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Che Pah Ahmad.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif (Bahagian Hospital) Pantai Holdings, Dr. Chan Boon Kheng dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Sungai Petani, Chor Choy Yook.

Pada 28 Ogos 2008, Khazanah muncul sebagai pemegang saham utama Pantai Holdings dengan pengambilan alih 60 peratus kepentingan syarikat itu daripada firma Parkway, sekali gus mengembalikan penguasaan syarikat konsesi itu ke tangan pelabur tempatan.

Selain itu, Khazanah turut menguasai kira-kira 24 peratus kepentingan dalam Parkway yang menguruskan beberapa hospital terkemuka di Singapura.

Menurut Mohamed Khatib, Pantai Holdings turut merancang beberapa mekanisme bagi mempertingkat keupayaannya dalam industri perubatan.

Katanya, antara langkah tersebut ialah membeli peralatan canggih dan berteknologi tinggi sejajar dengan cabaran perubatan sekarang.

"Bidang-bidang perkhidmatan yang diberikan fokus pula adalah onkologi, kardiologi dan ortopedik," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, mesin MRI dan CT64 yang didapati di Hospital Pantai Sungai Petani merupakan teknologi terkini yang pertama kali diperkenalkan di kalangan hospital-hospital di negeri Kedah.

"Kedua-dua mesin ini melibatkan kos pelaburan RM6 juta. Dengan adanya teknologi sebegini, kita berharap rakyat Kedah tidak perlu lagi berulang-alik ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan seperti sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Choy Yook berkata, Hospital Pantai Sungai Petani yang mempunyai kemudahan 160 katil ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu sebagai Hospital Strands.

Hospital pakar tersebut kemudiannya dinamakan Hospital Pantai Utara pada September 2007 dan ia kini dikenali Hospital Pantai Sungai Petani selepas diambil alih sepenuhnya oleh Pantai Holdings pada April lalu.

Related Content

Comprehensive Development Plan (CDP)

The Comprehensive Development Plan (CD...

Iskandar Regional Development Authority

The Iskandar Regional Development Auth...

Social Programmes

RM 200 million has been secured for Pu...

Graduate Employability Management Scheme (GEMS)

The Graduate Employability Management ...

Where to Shop?

Shopping As the Southern Gateway to Ma...

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Iskandar Service Centre

Iskandar Service Centre provides one-s...

 
Share |