Johor: SPF Iskandar Malaysia untuk kumpulan sasar: MB

03 December 2009 , By Berita Harian

MENTERI Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, menegaskan Kumpulan Wang Pembangunan Sosial (SPF) Iskandar Malaysia hanya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan sosial kumpulan sasar dalam koridor pembangunan ekonomi berkenaan.

Menjawab soalan Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman (BN-Machap), Abdul Ghani berkata, wang berkenaan adalah bersifat 'sekali bagi' daripada pelabur Iskandar Malaysia dan tabungan SPF kini berjumlah RM50 juta, hasil sumbangan Iskandar Investment Bhd (IIB) selaku pemaju utama Iskandar Malaysia.

Katanya, IIB juga sudah memberikan komitmen sumbangan RM25 juta lagi untuk tabung berkenaan.

"Bagaimanapun, saya memberi jaminan bahawa kumpulan sasar di luar Iskandar Malaysia tidak akan diabaikan kerana terdapat pelbagai peruntukan disediakan sama ada oleh kerajaan Pusat atau negeri," katanya.

Abdul Ghani berkata, penggunaan SPF adalah dikawal melalui Seksyen 37(3) Akta Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) 2007 dan segala projek, program serta pembiayaan SPF perlu selaras dengan pelan komprehensif Iskandar Malaysia.

"Projek yang dimohon di bawah SPF perlu diluluskan Jawatankuasa Pembangunan Sosial (SDC) yang dipengerusikan Menteri Besar dan pembiayaannya perlu pula diluluskan Jawatankuasa SPF yang bertindak sebagai pemegang amanah wang ini," katanya.

Beliau berkata, IRDA sudah mengadakan pelbagai perbincangan dengan agensi dan jabatan berkaitan untuk mengenalpasti program pembangunan sosial yang boleh dibiayai kumpulan sasar dan kaedah pelaksanaannya.

Katanya, berdasarkan cadangan terkini, fokus dan penekanan program ini adalah berbentuk sosio ekonomi dan tertumpu kepada program penjanaan pendapatan bagi kumpulan berpendapatan rendah bagi memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan dalam pembangunan Iskandar Malaysia.

Menjawab soalan tambahan M M Samy (BN-Permas), Abdul Ghani berkata, sesiapa saja boleh memohon program atau pembiayaan di bawah SPF, tidak kira sama ada ia daripada wakil rakyat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, katanya ia perlu memberikan manfaat kepada kumpulan sasar iaitu masyarakat akar umbi dalam Iskandar Malaysia.

"Sebagai contoh, saya merasakan bahawa projek ternakan kupang dalam Iskandar Malaysia amat sesuai menerima pembiayaan melalui SPF ini, kerana ternakan itu diternak secara komersil dalam koridor ini, tetapi masih menggunakan kaedah tradisional.

"Jika, mendapat pembiayaan di bawah SPF, mungkin industri ini, boleh dinaiktaraf dan dimodenkan sekali gus memberi manfaat kepada golongan penternak yang terdiri di kalangan nelayan pesisir pantai dalam Iskandar Malaysia," katanya.

Related Content

Graduate Employability Management Scheme (GEMS)

The Graduate Employability Management ...

Information for Foreigners

Employment The main legislation regul...

What is Iskandar Malaysia : Industry Cluster

Industry Cluster   The Framework ...

Comparison of Crime Index in Iskandar Malaysia

Year 2009 : Jan-Feb | Feb-Mar | Mar-Ap...

Connection with RMK-9

The Ninth Malaysia Plan (2006-2010) re...

What is Iskandar Malaysia : How We Can Help

How We Can Help   Investing in Ma...

Where to Shop?

Shopping As the Southern Gateway to Ma...

Why Malaysia? : Advantages of Malaysia

Renowned as a stable, well-established...

 
Share |