MACHANG 20 Okt. - Sebuah syarikat terkemuka di negara ini dilantik oleh kerajaan Mesir untuk menyediakan pelan dan membangunkan sebuah bandar di negara itu berkonsepkan model pembangunan Putrajaya dan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak telah diadakan ketika beliau dan rombongan melakukan lawatan ke Timur Tengah minggu lalu.
Menurutnya, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan Mesir itu membuktikan syarikat dari negara ini telah mendapat kepercayaan dan pengiktirafan luar negara.
Sehubungan itu, katanya, beliau menaruh keyakinan syarikat berkenaan dapat melaksanakan tanggungjawab besar itu dengan baik dan cemerlang.
''Kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan Mesir itu sesuatu yang membanggakan negara," ujar beliau tanpa menyebut kos bagi pelaksanaannya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Aidilfitri Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan di sini malam tadi.
Seramai 4,000 pelajar UiTM itu memeriahkan majlis tersebut dan turut hadir Pengarah Kampusnya, Datuk Dr. Hussin Abdul Rahman.
Mustapa berkata, dalam lawatan itu, Malaysia turut mendapat manfaat apabila dipelawa menyertai projek pembinaan lapangan terbang Doha, Qatar bernilai lebih RM3.3 bilion.
Katanya, kejayaan itu berdasarkan keupayaan negara membangunkan projek-projek mega di negara ini yang mengkagum dan meyakinkan mereka.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, gerakan mendampingi anak Kelantan yang bekerja di luar negeri itu merupakan antara salah satu daripada strategi UMNO Kelantan menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum ke-12.
Jelas beliau, sebanyak 15 peratus pengundi di Kelantan berada di luar negeri itu untuk mencari rezeki berikutan ketiadaan peluang pekerjaan di negeri sendiri.
"Dua lagi agenda iaitu mendaftar anggota baru sebagai pemilih dan penerangan yang membabit isu semasa dan masa depan orang Melayu dan agama Islam akan turut diberi keutamaan," katanya.
Mustafa berkata, semua ketua bahagian di Kelantan diarah menjayakan tiga misi itu dalam tempoh terdekat.