JB akan diberi 'wajah' baru

21 October 2009 , By Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 20 Okt. - Kerajaan negeri bercadang melakukan transformasi terhadap bandar raya Johor Bahru bersesuaian dengan lokasinya yang berada dalam wilayah Iskandar Malaysia.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kerajaan negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM200 juta daripada kerajaan Pusat untuk tujuan tersebut.

Beliau berkata, antara lokasi yang bakal diberi wajah baru adalah sekitar Sungai Segget dan pusat bandar raya.

"Perubahan wajar dilakukan kerana ia mampu menaikkan lagi imej bandar raya ini yang merupakan salah satu lokasi tumpuan di wilayah Iskandar Malaysia," katanya.

Beliau berucap sempena Majlis Jamuan Penghargaan Johor Corporation (JCorp) 2009 di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Persada di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan bekas Ahli Lembaga Pengarah JCorp, Datuk Musa Muhamad yang diraikan kerana bersara daripada JCorp.

Abdul Ghani berkata, walaupun berlakunya transformasi, ia tidak akan menjejaskan peluang orang Melayu untuk menikmati pemodenan yang dilaksanakan.

"Dengan adanya pelaburan daripada JCorp antaranya menerusi bangunan Komtar dan Menara Ansar, saya yakin orang Melayu tidak akan ketinggalan dalam apa juga arus perubahan," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Ali berkata, JCorp berjaya mengekalkan prestasi korporat yang berterusan dengan mencatatkan keuntungan memberangsangkan.

Menurutnya, tahun lalu JCorp berjaya mencatat keuntungan sebelum cukai di peringkat kumpulan berjumlah RM660 juta.

"Pencapaian ini adalah hasil daripada pengukuhan segmen perniagaan di samping hasil daripada program penstrukturan dan integrasi bisnes kumpulan yang telah dilaksanakan," katanya.

Selain itu, pada 4 Oktober lalu untuk dua tahun berturut-turut, JCorp berjaya mengekalkan pengiktirafan tertinggi iaitu empat bintang bagi pengurusan kewangan indeks akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara.

Artikel Berkaitan

Risalah-risalah Iskandar Malaysia

Anda boleh mencari dan memuat turun ri...

Bas Perintis

Pelancaran Bas Perintis- "Khidmat...

Dimana tempat untuk menetap dan makan?

Penginapan Untuk pelawat at...

Kenapa Iskandar Malaysia? Kelebihan-kelebihan Strategik

Terletak di persimpangan laluan-laluan...

Apakah Iskandar Malaysia?

Pengenalan   Iskandar ...

Sistem Kawalan Keluar Masuk Automasi Malaysia (MACS)

Dalam usaha untuk menyokong pembangun...

Pemerolehan dan Penganugerahan Kontrak di Iskandar Malaysia

Lembaga Mesyuarat Tender PBWP dan Keme...

Membeli-belah di mana?

Membeli-belah Sebagai Gerba...

 
Share |