Lebuh Raya Senai-Pasir Gudang-Desaru mesra pengguna
SENAI: Pengguna jalan raya di selatan Johor gembira dengan pembukaan Fasa 1 Lebuh Raya Senai-Pasir Gudang-Desaru (LSPGD), mulai 10 September lalu lalu berikutan ia mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan mempercepatkan tempoh perjalanan dari sini ke Pasir Gudang.
Seorang pengguna lebuh raya berkenaan, Lim Song Poh, 37, berkata beliau berpuas hati dengan pembukaan lebuh raya berkenaan kerana beliau tidak lagi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan dapat sampai ke destinasi dengan tempoh singkat.
Beliau yang berniaga di Taman Senai Indah, berkata biasanya perjalanan beliau memakan masa kira-kira setengah jam dari rumahnya di Ulu Tiram dengan kadang-kadang mengambil masa lebih lama apabila terperangkap dalam kesesakan.
"Bagaimanapun, dengan pembukaan lebuh raya itu, perjalanan saya ke kedai kini dapat disingkatkan kepada hanya 13 minit dan tanpa sebarang masalah kesesakan lalu lintas ," katanya ketika ditemui di Taman Senai Indah, di sini.
Seorang lagi pengguna, Abdul Razak Abdullah, 42, berkata beliau berpuas hati dengan lebuh raya baru itu apabila ia dapat mengelak daripada melalui Lebuh Raya Pasir Gudang (LPG) yang cukup sesak terutama pada waktu puncak.
"Sebelum ini, perjalanan saya dari Senai ke Pasir Gudang mengambil masa lebih satu jam tetapi dengan adanya lebuh raya ini, kini ia dapat dipercepatkan kepada hanya 27 minit sehingga ke Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
"Tambahan pula, saya kini berpeluang menggunakan lebuh raya itu secara percuma selama sebulan," katanya.
Fasa 1 LSPGD yang dilancarkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, 10 September lalu itu bermula dari persimpangan Lebuh Raya Linkedua di Senai melalui Ulu Tiram, Cahaya Baru hingga ke Tanjung Langsat di Pasir Gudang.
Selain dapat menguraikan kesesakan lalu lintas di LPG serta memendekkan tempoh perjalanan, Fasa 1 LSPGD membabitkan jarak 50 kilometer itu mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di selatan Johor.
Lebuh raya itu dibangunkan Senai-Desaru Expressway Bhd (SDEB) membabitkan kos bernilai RM1.4 bilion dengan pembinaan Fasa1 dan 2 mempunyai jarak keseluruhan sejauh 77 kilometer. Fasa 2 LSPGD yang menghubungkan Cahaya Baru ke Desaru dijangka siap menjelang suku pertama tahun depan.