Iskandar Waterfront Development Sdn. Bhd.(IWD) member jaminan kepada masyarakat di Perkampungan Orang Asli Bakar Batu, Sungai Danga, di sini, yang mereka tidak diketepikan daripada menikmati faedah Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang sedang dibangunkan.
Komitmen itu diterjemahkan melalui usaha IWD yang kini merancang menyediakan kemahiran dan membuka ruang penyertaan kepada masyarakat Orang Asli di perkampungan itu dalalm bidang hospitaliti dan pertanian moden.
Ketua Pegawai Eksekutif IWD, Adlan Ahmad, berkata pihaknya sedar masyarakat Orang Asli di Kampung Bakar Batu terbabit dalam projek pembangunan yang sedang dilaksanakan Iskandar Malaysia.
Sehubungan itu,beliau berkata, langkah proaktif sudah dan sedang dilakukan untuk mendekati masyarakat berkenaan bagi memastikan mereka tidak tersisih dan dipinggirkan dalam menikmati pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
"Dalam tempoh terdekat ini, kami sedang membuat kajian dan perancangan membawa program kemahiran seperti jahitan, pertukangan dan pertanian moden kepada Orang Asli, di sini.
"Selain itu, kami merancang membekalkan kemahiran kepada mereka dalam bidang hospitaliti supaya dapat diserapkan ke dalam industry berkenaan yang wujud di Wilayah Iskandar,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis berbuka puasa IWD dan pendudukn Kampung Bakar Batu, kelmarin. Hadir sama Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad.
Pada majlis itu, 30 keluarga Orang Asli menerima sumbangan Aidilfitri dalam bentuk hamper dan wang tunai daripada IWD yang disampaikan Nur Jazlan.
Adlan berkata, program itu antara tanggungjawab social IWD dalam menyumbang terutama sempena Ramadan dan persediaan menyambut hari lebaran tidak lama lagi.
"IWD sentiasa turun ke perkampungan ini, pegawai kami akan mendekati penduduk dan mendengar apa yang mereka harapkan dan mahukan bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan selaras dengan kehendak kerajaan,"katanya.